Nauzubillah min zalik.
Pengalaman pertama berhadapan situasi seperti ini. Hari ini hari yang santai. Semangat kerja peratusnya meningkat. Seawal pagi dah mula call pelanggan dan kemudian diri sendiri yang menawarkan untuk membantu memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang hadir ke bank. Lewat petang, pelanggan semakin ramai dan akhirnya bantuan aku diperlukan untuk menguruskan mereka. Aku beralih meja dan syukur pelanggan aku bukan dia.
Permulaannya aku tidak tahu bagaimana kerana tibanya aku di situ di bahagian klimaks – you kufur!
Tidakkah tergamam rasanya bila seorang muslim yang lain, yang pakaiannya cukup menutup aurat, kalau dilihat dari wajahnya dapat kita bayangkan dari keturunan yang baik baik tetapi dengan lantangnya bersuara menghakimi bahawa kita adalah kufur hanya kerana kita tidak berupaya membantu memberi bantuan kewangan padanya yang benar benar memerlukan. Katanya tidak perlulah nak mengakui kononnya sebuah institusi yang berasaskan Islam tetapi bila orang yang betul betul memerlukan datang meminta bantuan, permintaannya diketepikan. MasyaAllah.
Sudah dua bulan setengah aku di sini. Dan aku bukanlah bijak pandai untuk menghakimi pula adakah benar institusi tempat aku mengenal dunia perbankan ini benar benar berlandaskan syariah atau tidak. Tetapi aku percaya, ia sebuah bank koperasi yang berlandaskan syariah dimana pelaksana pelaksana nya juga mementingkan aspek ini dalam setiap urusan. Jika orang lain tidak, itu yang aku akan perjuangkan sebab itu matlamat aku kenapa aku memilih jurusan ini 2 tahun lalu.
Dia seorang yang berilmu tinggi. Pembiayaan yang diperlukan itu adalah untuk menyambung pengajiannya ke peringkat phd dan juga anaknya yang baru mahu mengenal alam universiti. Sedangkan aku disitu hanyalah seorang pelajar tahun akhir dan pegawai yang berurusan dengannya adalah seorang pegawai kontrak lepasan diploma. Benar. Kami tidak setanding dia. Suara kami juga tidak lantang seperti dia. Katanya dalam agama yang suci ini ilmu itu adalah sampai akhirat, bukan semata mata dunia. Kerana itu dia seharusnya dibiayai & dibantu. Dan sejurus itu dikatakannya pada kami, kufur. Nauzubillah.
Sampai terdetik di hati aku, ‘kau berdakwah untuk murtadkan saudaramu?’
Aku seorang Muslim yang masih tercari cari cahaya petunjuk ke jalan yang diredhaiNya. Ilmu aku jugak masih cetek dan iman di dada pun ternyata nipis. Tetapi sejauh mana Islamnya aku adalah antara aku denganNya dan begitu juga insan lain. Dan pendapat aku tentang agama ini, ia perlukan keyakinan & kepercayaan yang kukuh tentang kebenaran & keindahan yang tersendiri kerana ia adalah agama Allah. Dalam rukun Iman pun kita perlu percaya pada 6 perkara iaitu percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Qiamat dan Qada’ & Qadar. Dan pandangan aku pada mereka yang seringkali mengkritik agama ini sedangkan mereka sendiri adalah seagama denganku kerana lemahnya kepercayaan & keyakinan pada agama ini. Renung renungkan lah.
Aku tidak mengatakan dia sebegitu tetapi dengan kelantangannya berkata untuk pergi ke agama lain sememangnya mengejutkan. Memang benar apa yang dikatakannya tetapi apabila dengan beraninya dia berkata mahu pergi ke agama itu, tidakkah kedengaran pelik? kepercayaan & keyakinan nya pada perkhidmatan bank ini adalah haknya. Keberanian untuk mengkritik adalah juga haknya tetapi untuk memburukkan agama itu benar benar membangkitkan kemarahan.
Dan permintaan nya ditolak bukan kerana tidak mahu membantu. Dengan gajinya sememangnya dia mampu untuk menyelesaikan pembiayaan dalam tempoh yang singkat malangnya dia benar benar tidak layak untuk membuat permohanan tersebut walaupun kesnya dinaikkan sehingga berurusan dengan pengurus cawangan. Dia kalah.
notakaki: institusi perbankan bukanlah suatu urusan keluar masuk duit & horey! Bergaullah dengan ahlinya dan fahamilah transaksi yang terlibat, fahamilah dengan benar apa itu syariah & Islam dan kemudian selidikilah. Hakimilah dengan akal, bukan dengan hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan