بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Selasa, 6 September 2011

Kemboja Di Pusara Bonda

Pagi pagi Aidilfitri di tahun ini, awal awal lagi keluarga kami dah berkunjung ke pusara bonda. Lama rasanya tidak datang bertandang. Kerana lama juga rasanya tidak pulang ke desa. Pagi yang indah itu, kelihatan ramai saudara seagama yang berpakaian segak menawan berziarah ke pusara insan tersayang masing masing. Dan kaki kami melangkah laju menuju ke pusara yang tuannya telah banyak berkorban tenaga, masa & air mata untuk kebahagiaan kami.

 

Ada sepohon kemboja yang mewangi di pusaranya. Pokoknya sudah besar. Dan kuburnya kelihatan bersih. Hanya ada helaian helaian kecil daun kering. Ada hamba Allah yang budiman yang terlebih dahulu datang menziarahinya dan menanam pohon kemboja itu. Bunga putih. Sungguh menawan hati.

 

Nisannya sudah dikotori tanah. Telah lama. Bonda pun sudah 8 tahun meninggalkan kami selamanya. Tapak tangan ini…setiap kali datang berziarah pasti akan mengusap sayu nisan yang tertulis nama cinta hati itu.

 

Al-Fatihah. Zakiah bt Hj Sulaiman. Kembali ke rahmatullah pada 19 April 2003 bersamaan 17 Safar 1424H pada usia 50 tahun. Amin.

 

Ayat itu seperti sudah terhafal di minda. Ada rasa sebak di dada di pagi raya yang mulia itu. Sejenak termenung di situ. Dan sebelum berlalu pergi sempat ku toleh pada pusara bonda,

 

“Selamat Hari Raya, mak”

 

 

 

Notakaki: Aidilfitri kali ini sungguh memilukan.

Tiada ulasan: