Sejak mak pergi 8 tahun lalu, hidup memang banyak berubah. Banyak yang hilang, banyak yang tiada, tapi aku malas nak jadikan itu semua alasan untuk jatuh & kalah. Aku dapat kenal mak kejap je. Lebih kurang 14 tahun 3 bulan. Tapi aku tak rasa rugi mahupun menyesal sebab dengan kasih sayang yang sekejap cuma itu lah yang memberi aku nafas untuk hidup tabah & cekal sebegini. Jika mak masih hidup, aku orang yang beruntung. Masalah jiwa pun mungkin tidak berat sebegini untuk ditanggung sendiri, gelak tawa juga mungkin lebih ceria, lebih banyak untuk di kira kalau nak dibandingkan dengan deraian tangis & kecewa. Tapi itu semua hanya ilusi. Ilusi menggembirakan tapi bukan kenyataan. Mendoakan kesejahteraan mak, menatapi & menyentuh barang barang mak yang masih bersisa, menggamit kenangan ketika masih bersama, mengingati kekuatan & ketabahan di sebalik senyumannya, cukup lah itu untuk membahagiakan hati. Ya, aku rindu mak. Sentiasa. Tanpa sehari pun gagal.
Mak pergi bersama jasadnya tetapi mak tinggalkan kasih sayang & cinta yang tiada galang gantinya. Abah & adik beradik. Abah, orangnya pendiam, jarang sekali bercakap apatah lagi nak diajak berborak. Tapi abah bekerja keras untuk keluarga ini. Walau hidup tidak semewah mana, tapi tiada yang kurang abah tunaikan. Bila mak pergi, rasanya abah lah orang yang paling sepi. Mak dikebumikan di kampung, Perak dan kami tinggal di Gombak. Setiap minggu abah balik kampung, semata mata untuk berziarah ke kubur mak. Pasti untuk melepaskan rindu yang berbuku bukan? Tapi abah tak pernah tunjukkan kesedihannya, apatah lagi dunianya yang menjadi sunyi & sepi setelah perginya seorang isteri buat selamanya.
Masa mak pergi, aku budak sekolah lagi. Baru tingkatan tiga. Dan aku tahu abah lah orang paling risau dengan keadaan aku. Semua orang tahu aku anak bongsu, dah confirm yang paling rapat dan manja dengan mak. Tambah pulak aku satu2nya anak yang tiada di hari2 penghujung usia mak sebab aku belajar kat asrama. Masa tu abang & kakak dah kerja, abang2 kembar pulak baru habis matrik. Lepas mak pergi, setiap kali aku balik rumah bila cuti, abah pasti takkan tinggalkan aku sendirian di rumah. Mungkin dia tak mahu aku sunyi ataupun rindu pada arwah. Jadi setiap kali itu juga abah akan bawak aku pergi rumah makcik2 aku, tinggal sekejap dengan mereka sementara abah pergi bekerja. Oh abah, kasih sayang mu begitu ketara! Kerja2 yang biasa dilakukan mak, abah tiba tiba menggalasnya. Datang sekolah ambik report card, datang asrama bagi duit & makanan, abah, langsung tak bagi peluang aku nak rasa susah. Abah terima bodoh pandainya aku seadanya. Tiada mengeluh. Bukan sebab abah tak kisah, tapi aku percaya abah yakin dengan aku, bahawa aku tak mudah mengalah dengan hidup. Mungkin abah langsung tak fikirkan ini. tapi cukuplah aku mengandaikannya supaya ia menjadi inspirasi untuk kekuatan aku.
Abah menjaga aku dengan baik sehingga kini walaupun pernah terjadi ‘perang’ antara kami. Walaupun abah memberi sepenuh perhatian kepada aku, tapi aku orang yang dingin. Jarang sekali aku nak berborak dengan abah sampailah bila aku bangkit dari dunia kegelapan, bila aku dah mula nampak masa depan, alhamdulillah masa tu hubungan aku dengan abah pun menjadi bertambah erat. Aku cuba sikit sikit cerita dengan abah kisah kisah hidup aku walaupun semuanya dalam bentuk ringkasan. Aku ceritakan tentang kawan kawan aku, siapa mereka, kenal dimana, yadda yadda. Aku ceritakan jua kemana aku pergi dan kadang2 aku kongsikan juga kesusahan yang aku alami sepanjang aku belajar di universiti kecuali masalah dengan kawan2 dan pelajaran. Pernah suatu ketika aku tak dapat duduk kolej, dan itu memaksa aku untuk menumpang setiang ruang yang ada. Bertukar bilik ke bilik, menyewa di rumah yang seram semacam, menumpang rumah entah siapa, berjalan lewat malam di tasik kerana tiada tempat nak pergi, menumpang tidur di surau, hanya abah yang tahu susahnya aku ketika itu. Ia memakan masa hampir seminggu. Dan kerana abah orang yang tenang, abah langsung tak menambah tekanan. Sejak peristiwa tu aku tahu abah lah orang yang paling risau bila aku tak dapat kolej dan abah lah orang yang paling gembira bila aku bagitahu rayuan kolej aku berjaya. Bukan sebab kos sara hidup yang jauh lebih rendah, tapi sebab abah tak mahu tengok aku susah.
Abah, abah…usianya sudah lanjut tapi masih gagah bekerja tanpa jemu. Masih tak gagal untuk menggembirakan hati anak2nya, sekurang2nya aku merasa. Abah kini semakin ramah, rajin bercerita jika ditanya. Kalau tak tanya pun abah suka nak cerita. Bab kereta, memang takkan habis abah kongsikan. Aku dengar je. Walaupun bukan paham sangat. Bila aku balik, ada di rumah, aku tahu abah suka. Abah memang mahu aku duduk lama di sini. Cuma aku, liat semacam. Banyak yang pahit terpaksa di telan untuk hidup di dalam rumah ini. Kalau bukan kerana abah dan kenangan yang bersisa, mungkin dah lama rumah ini aku tak jejak. Baru baru ini abah bagi hadiah kepada aku sebab keputusan exam hari itu. Resultnya biasa sahaja tapi abah menghargainya. Malu & terharu aku dibuatnya.
Abah, terima kasih. Ija tak mampu nak balas jasa pengorbanan abah dengan wang kerana sehingga kini pun Ija masih menagih duit belanja dari abah. Maafkan Ija sebab masih selalu menyusahkan abah dengan pelbagai kerenah Ija yang banyak songeh ini tapi Ija harap abah mengerti – abah sentiasa diperlukan dalam keluarga ini terutama sekali Ija. Walau kita hidup tidak serumah, tapi Ija nak abah tahu kehadiran abah sangat berharga, diperlukan, dinantikan walau cara yang Ija guna memang mengada ngada. Abah, Ija anak yang masih lemah dari segi fizikal dan ekonominya, tapi Ija tahu Ija mampu bahagiakan abah dengan menjadi anak yang baik & kembalikan susah payah abah hantar Ija belajar sampai dah nak hampir genggam segulung Ijazah ini dengan segelung kejayaan. Ija memang tak pandai macam kakak, tak ambik kursus yang hebat macam alang & chik, tapi Ija takkan sekali mahu kecewakan abah. Itu janji Ija. Selagi Ija hidup, Ija nak terus menjadi anak yang baik untuk abah & mak. InsyaAllah.
Terima kasih kerana abah & mak lah yang menjadi sumber kekuatan, ketabahan, dan kecekalan Ija pada hari ini. Walau kita bukan orang senang, tapi abah jarang sekali kecewakan Ija. Ija sayang abah. Selamanya.
Abah & Ija. Jogjakarta. 050311. |
.
2 ulasan:
rsa mcm nak nangis baca.. sedih nye.. klu la bapak ko baca ni (even x baca pun), dia akan rasa sgt bersyukur dikurniakan anak mcm ko.. :)
:') dah lama ak tak singgah sini.
Catat Ulasan