بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Rabu, 5 Disember 2012

Contengan Jalanan

Tiga hari perjalanan yang singkat untuk mendapatkan sesuatu, untuk merasakan sesuatu. Aku tak melalui perjalanan seperti Fend, sebab aku tak ada teman seperti Chad. Aku tak rasa pengalaman Fend dan Chad, sebab aku bukan watak dalam Contengan Jalanan. Aku hanya melalui satu perjalanan yang singkat. Yang aku cuba untuk pisahkan diri aku seketika dengan manusia.

Lelah.

Hari pertama. Langsung tak dapat nak beribadah kerana masih dalam keadaan uzur. Berharap benar moga hari kedua dah boleh meletak kepala sujud kepada Yang Esa. Tapi aku dapat sesuatu dari filem Life of Pi. 

"Kita tak kenal Tuhan selagi Tuhan tak diperkenalkan kepada kita."

Memang betul pun. Kalau takde yang nak kenalkan Allah tu Tuhan Yang Satu, hanya Dia yang selayaknya disembah, hanya Dia Tuhan yang Benar, mungkin ke kita akan berada di atas landasan Islam? Dan bila dah kenal dan tahu, seterusnya tanggungjawab kita untuk lebih faham dan mendekatinya. Kisah hidup seorang lelaki yang bernama Piscine itu, ada kaitannya dengan keyakinan akan pergantungan kepada Tuhan. Sebab kita manusia, hidup ni perlukan pergantungan. Dan sebaik baik pergantungan adalah kepada Allah. Kena ingat selalu.

Malam tu sakit gigi kaw kaw langsung terlupa nak mandi wajib sebelum subuh. Tak dapat nak bangun tahajud.

Hari kedua. Langkah kaki mula diatur menuju ke tempat yang paling tenang di hati. Masjid Negara. Disini ada satu rasa kedamaian dan ketenganan yang luar biasa berbanding masjid masjid lain yang pernah dijejak selama ini. Kenapa? Kerana disini sentuhan hidayah itu datang. Di sini pintu hati terbuka untuk lebih mendekatiNya, mengenaliNya. Di sini, pengalaman manis memulakan langkah pertama memperbaiki diri. Di sini, inspirasi untuk lebih berusaha menjadi yang lebih baik, mencari redhaNya. Sungguh tenang di sini. Bayang bayang kenangan itu masih jelas tergambar dalam ingatan. Manis. Dan indah.

Di waktu Zohor itu, sempat berjemaah bersama. Tetapi hajat nak menambah kenalan itu tidak sampai kerana lidah terasa kekok nak berbahasa Inggeris. Sekadar senyum dan salam. Dan mendengar sedikit bicara mereka dalam bahasa Inggeris bercampur Arab. Ukhwah itu, walau berlainan bahasa dan budaya, atas keimanan pada Yang Satu, ukhwah yang indah itu tetap akan terbentuk dalam dakapan yang mesra. Orang sebelah dah mula ramah dengan foreigner dari Lubnan. Aku senyum simpul. Terasa segan mahu mencelah, maka aku alihkan kedudukan ke belakang. Iktikaf sebentar. Bermuhasabah. 

Allah ada bila kita mencarinya. Dan Dia selalu ada. Tak pernah sekali tinggalkan kita. Cuma bezanya bila Dia ada dalam hati kita, kita rasa tenang. Allah. Allah. Allah. Sempat mentaddabur surah Ar-Ra'd dan mengkhatamkan Al-Quran. Alhamdulillah. Selesai bacaan Quran yang kejap terhenti dan tersambung. 

Ar-Ra'd. Dah jadi surah faveret. Subhanallah.

Selesai, Muzium Seni Kesenian Islam menjadi destinasi. Betul betul bersebelahan masjid jika melalui pintu belakang. Dekat dengan Makam Pahlawan. Saja ke sini. Mahu menghayati sejarah peradaban kesenian Islam yang hebat. Muzium nya luas dan besar. Sehingga letih nak habiskan semua. Dan dalam langkah yang perlahan menikmati dan menghayati, satu soalan singgah kepada aku melalui seorang sister.

Soalannya lebih kurang begini. 

"Kenapa kita disuruh untuk berusaha sedangkan bukan ke Allah dan tentukan segalanya galanya? Macam apa yang kita akan makan, bukan ke Allah dah aturkan semua tu? kenapa kita mesti berusaha?"

Gaya dia bertanya tu, seperti dia tak nampak motif usaha itu untuk apa kerana ketentuan itu dah pun tertulis. Dan dia menambah.

"Betul ke dengan usaha tu akan mengubah nasib kita?"

Untuk orang yang sedang merangkak dan bertatih seperti aku ini, soalan seperti ini biasanya akan dijawab dengan disertai terjemahan surah Ar-Raid, ayat yang ke 11.

"...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..." 

Allah dah nyatakan kalau kita tak usaha untuk berubah, memang nasib kita tidak akan berubah. Tapi macam kalau dah usaha pun masih tak berubah?

Ini jawapan aku. Seorang daie kechil.

"Itulah jiwa kehambaan. Jiwa kehambaan ini akan merasa redha dengan apa yang Allah berikan padanya. Samaada ujian mahupun nikmat. Contoh, jiwa seorang hamba yang berusaha untuk cemerlang dalam bidangnya, tapi berakhir dengan tetap juga kegagalan atau pada tahap biasa, jiwanya tidak akan merasa lelah dan menyerah. Sebab dia tahu, dia telah memberikan usaha yang terbaik. Mungkin jika diberi kecemerlangan yang awal, dia menjadi bongkak. Jadi, usahanya itu sebenarnya untuk mendapatkan redha Allah, untuk memajukan bidangnya bukan semata mata untuk menjadi hebat di mata masyarakat. Ubah persepsi, kenapa nak berubah. Berubah sebab nak jadi kaya berharta atau sebab kerana Allah?

Sister terdiam berfikir sebentar.

"Jadi sebenarnya matlamat hidup kita nak cari redha Allah? Kalau kita kaya sekalipun tapi harta kita tu takde dalam redha Allah, kita tak rasa bahagia juga kan? Begitu?"

Ya. Hidup ini nak mencari redhaNya. Itu matlamat hidup kita. Kena sedar. Kita ini hamba. Yang tidak memiliki apa apa. Dan semuanya hanya pinjaman dari Allah. Jika kita sedar hakikat semua ini adalah pinjaman, maka tugas kita adalah menjaganya dengan baik sebelum dipulangkan semula kepada pemiliknya Yang Maha Kekal. 

Jiwa seorang hamba itu akan berusaha untuk berubah, dan memperbaiki nasib dirinya. Kerana Allah.

Bual bual addeen diteruskan. Kali ini tentang sabar. Sungguh, sabar itu sungguh meletihkan. Dan satu perjuangan yang seolah olah tidak ada penghujung. Yang kadang kadang buat diri rasa mahu menoktahkan saja perkataan sabar itu. Buat apa sabar pada orang yang tidak bersabar?

Kami diam sejenak. Sister bertanya lagi.

"Kenapa awak meminta saya fahami dan hayati maksud sabar itu? Sabar itu sebenarnya bagaimana?"

Rasa nak hentak kepala ke lantai. Bukan tidak suka pada soalan itu, tapi kerana kecilnya ilmu untuk menyampaikan sesuatu yang besar. Allah.

Malas nak menyelak kamus untuk menghuraikan sabar itu bagaimana, jadi aku gunakan saja kamus kehidupan. Yang mungkin ramai orang melaluinya juga.  

Orang yang sabar dan bertaqwa itu pasti akan menang. Dalam Al-Quran dah tertulis seperti itu. Orang yang bersabar dan bertaqwa itu disertai Allah. Allah cinta pada mereka. Tetapi sabar yang bagaimana? 

Contohnya kita berhadapan dengan orang yang bahasanya kesat, selalu menyakitkan hati kita. Lama lama kita pun rasa orang seperti begini tidak harus kita panjangkan sabar kepada dia. Biar dia rasa sekali dua macam mana pedas pula kata kata kita. Mungkin, orang tu terdiam, tak terlawan, ataupun kalah. Kita pun rasa berpuas hati kerana menang, dapat patahkan kata kata orang yang tidak punya sabar. Jadi, sabar kita itu menangkah? 

Sister diam.

Tak. Sabar kita itu kalah. Kerana amarah itu sifat iblis. Hakikatnya orang itu yang menang, kerana telah mengubah kita yang sebelum ni mampu bersabar menjadi orang yang kurang sabar seperti dia. Malah mungkin lebih teruk lagi.  Dan kita tidak merasa bahagia pun. Jadi seharusnya bagaimana untuk sabar?

Perbetulkan niat. 

"Wahai tuan, dia menyakitiku. Engkau sampaikanlah kepadanya kata kata ku ini untuk menyedarkan dia, agar kesabaranku meningkat, dan kesabarannya juga meningkat. Ya Allah, jangan biarkan nafsu amarahku menguasai diriku."

Cuba. Cuba. Cuba. Cuba "hasut" dia berubah dengan kesabaran kita. Bukan biarkan amarah dia yang "menghasut" kita untuk jadi seperti dia. Orang yang sabar pasti akan menang. Yakinlah. Dan kalau nak masuk Syurga, jangan marah. Nabi kata macam tu. 

Usai Maghrib berjemaah di Masjid Negara. Rindu. Rindu suasana itu. Tetapi malam telah gelap dan kaki seharusnya melangkah pulang. Dalam renungan yang panjang. Akan perbualan yang terjadi ketika di muzium. Aku yang melahirkan kata kata lancar bersahaja. Tetapi, aku sendiri, mampukah? Allah.

Hari ketiga. Hari yang istimewa. Jam 11.45 pagi, seorang hamba Allah yang dipilih untuk mengetuk pintu hati ini untuk memulakan langkah pertama mencintaiNya, dilahirkan 25 tahun dahulu. Aku syukur dan senyum. Moga malaikat mengasihinya, moga Allah cinta kepadanya dan moga penduduk di bumi sayang kepadanya. Moga Allah menganugerahkannya 'izzah, iaitu kekuatan dan kemuliaan dalam setiap langkah perjuangannya. Aamin Ya Allah.

Hari yang terakhir. Sehelai tudung akel bidang 60 bertukar tangan. Warnanya hijau. Moga Allah redha. Moga diberi kekuatan untuk memakainya dan menjadi inspirasi buat diri untuk lebih memperbaiki diri.

Selesai satu perjalanan yang singkat. Namun ia tetap manis dalam sejarah hidup.

Dan semoga dapat teruskan usaha mencari & membina kekuatan serta kesabaran untuk tanpa jemu memperbaiki diri. Izzah boleh. InsyaAllah.


5 Disember 2012
Hotel Citin, Masjid Jamek

#Tiga Hari Mencari Erti Hidup. Singkat.  


Tiada ulasan: