بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sabtu, 15 Oktober 2022

7 Tahun

*lap lap sawang*

Allah. Lama betul blog ni tak ada update ya? Kali terakhir aku menulis tentang pemergian Iskandar, seorang doktor yang aku hanya kenali di alam maya. Interaksi yang ada cuma ucapan hari lahir. Aku lahir 26 Januari, Iskandar 27 Januari. 7 tahun dah dia pergi. Meninggal pada usia 27 tahun. Dulu aku suka tengok post Facebook dia. Kelakar. Dia rajin cerita jalan kehidupan dia masa bertugas di Sabah. Masa dia meninggal tu, menangis jugak aku.

Kali ni aku update, sebab aku nak menulis tentang Fekhry. 11 tahun lepas, Fekhry pernah menulis tentang aku di blog dia. Tapi aku, rasanya tak pernah bercerita tentang dia.

Siapa dia dalam hidup aku? 

Masa aku masih belajar di UiTM, aku pernah ikut satu program belajar bahasa isyarat di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor. Di sini bermulanya pertemuan kami. Aku nampak dia kat situ. Hensem. Lepas tu siap conduct koir Hari Ini dan Semalam. Dia cikgu kat sekolah tu. Masa tu aku memang minat sangatlah nak belajar bahasa isyarat ni. Sampai sekarang pun aku minat je lagi nak belajar.

Habis program aku pun cari siapa nama dia. Jumpa kat Facebook, aku add friend. Dia pulak jenis suka berkawan. Ngam. Dan tak aku sangka semudah tu jugak kami terus rapat. Boleh kata hari hari sembang. Dah la hensem. Aku pun crush jugak kat dia. Tapi rupanya berpunya. Haha. Tapi aku takde lah down terus blah sebab bukan tu tujuan aku berkenalan dengan dia. Masa tu memang fokus aku tentang budak budak deaf ni. Seronok dengar cerita cerita dia. Ada la jugak beberapa budak yang aku kenal hanya dari cerita cerita dia. Cerita pulak complete. Siap tunjuk gambar. Siap tag aku dekat Facebook.

Rapat betul aku dengan dia. Boleh kata semua benda dia cerita. Sampaikan kekasih hati dia waktu tu pun aku kenal. Dan memang aku berkenalan la sekali dengan akak tu. Cantik, tinggi, solehah. Tapi tak ada jodoh mereka. Akak tu kahwin dengan orang lain. Kecewa sangat dia masa tu. Lama sangat dia ambil masa untuk move on.

Tapi bila dia dah single aku tak cuba pulak nak masuk line. Haha. Mungkin sebab pada kami, memang selesa berkawan kot. Mungkin pada dia aku dianggap kawan baik dan adik. Dia tua 5 tahun dari aku.

Lama la jugak kami rapat tu berkongsi pelbagai kisah kehidupan. Tapi dia lah yang lagi banyak bercerita. Aku memang jenis kurang berkongsi. Tapi semakin dewasa masing masing pun tak ada masa sangat. Sibuk dengan kerja masing masing. Sesekali je borak bertanya khabar. Tapi aku tahu, dia tak lupakan aku. Dia support aku, dalam diam.

Masa mak dia meninggal tahun 2017, dia datang bercerita kat aku. Kesedihan dan kerinduan dia. Dan aku bersyukur sebab masa tu aku pilih untuk comfort dia. Aku ni bukan boleh harap sangat. Kadang aku suka bash dia balik. Tapi dia baik. Kena marah kena bebel dengan aku dia tetap sudi nak berkawan jugak. 

Tapi sejak 2017 pun macam macam jadi dalam hidup aku. Aku struggle sangat. Bila dah keluar dari kesusahan aku, aku sibuk sangat pulak. Lama lama memang aku lupa nak contact dia. Aku ingat dia tapi mungkin sebab dah terbiasa dia yang mula tegur dulu aku pun jadi tak reti macam mana nak mulakan perbualan.

Lepas tu tahun 2020 ada WhatsApp dengan dia. Cakap pasal anak anak murid dia. Masa tu genap 10 tahun dah kami berkawan. Aku tak sangka dia yang ingat. Aku ingat kenal masa zaman belajar je. Tahun berapa aku memang tak pasti. Tapi dia ingat. Dia memang jenis hargai orang.

Dan apa yang aku ingat lagi, aku selalu kirim sampul raya kat dia. Dia tak mintak pun aku pos jugak. Sebab dia pernah cakap dia suka. Apa salahnya kita bagi apa yang orang suka kan?

Baru baru ni, masa awal bulan Oktober aku saja nak tengok gambar gambar yang orang tag aku dekat Instagram. Ada satu gambar dia tag aku. Dia upload gambar sampul raya yang aku kirim. Dia kata thank you bagi jugak sampul raya dekat dia walaupun aku gurau gurau kata tamau bagi dekat dia. Aku senyum tengok post tu. Tapi langsung tak tergerak di hati aku nak tengok IG dia ke FB dia ke atau tanya khabar dia dekat WhatsApp atau messenger.

Masa birthday dia 13 September lepas, birthday yang aku memang sentiasa ingat sebab sehari sebelum kakak. Dia ada upload story dan aku pun wish Happy Birthday. Dia jawab tq. Masa tu aku rasa pelik, aneh. Pendeknya reply. Biasa tak macam tu. Tapi itulah hati aku memang tak tergerak nak tanya.

Masa awal Oktober jugak dia ada upload semoga Oktober ni semuanya baik baik macam tu la. Dia tepek sekali gambar dia. Makin hensem. 38 tahun dah dia. Masa kenal dulu baru 26 tahun. Dan tetap jugak single. 

Lepas tu macam biasalah habit sebelum tidur, scroll FB, IG, tiktok. Tiba tiba ada satu post lalu news feed aku. Tag dia. Gambar hitam putih. Ada gambar dia. 

Fekhry meninggal. 

Ya Allah. Betul ke? Terus terbangun aku. Macam nak tercabut jantung. Aku baru je tengok post dia beberapa hari sebelum tu. Aku baru je teringat dia dan senyum masa tengok post sampul raya tu. 

Betul ke dia dah tak ada? 

Innalillahi wainna ilaihi rojiunn. 

Aku yakin, pada hari aku tengok dia punya post sampul tu, pada hari aku teringat dekat dia tapi tak terdetik untuk menghubungi, itulah hari perpisahan dia dengan alam dunia, hari perpisahan kami. Tanggal 5 Oktober 2022. Jam 8 malam, Fik pergi bertemu Ilahi. 

Aku menangis. Sepanjang hari aku menangis. Kehilangan pertama di kalangan orang yang rapat. Orang yang aku rasa aku selalu kasari dia tapi dia tetaplah menyantuni aku dengan baik. Aku harap Fik dah maafkan aku sebab aku tak sempat nak mintak maaf dekat dia.. 

Aku redha dia pergi. Dia dah lama letih. Dah lama sedih. Dah banyak dia berkorban untuk orang orang yang dia sayang. Dia orang baik. Hati dia baik sangat. Dia penyayang. Dia didik anak anak syurga. Masa kat dunia ni dia tak dapat bidadari yang dia idamkan. Tapi aku percaya orang sebaik dia yang Allah sayang ni ada tempat istimewa di sisiNya. Ada jodoh dia kat sana. Ada bidadari yang terpaling cantik untuk dia. 

Fik pergi pun mudah sangat sangat. Dia rasa sakit. Sehari sebelum nak pergi tu dia demam, dia sakit perut. Dia tak boleh nak tidur. Esoknya dia MC. Check dengan doktor dia ada hpt. Tinggi sangat blood pressure dia. 200+. Malam tu, dia kembali ke rahmatullah. Cepat sangat kan? Darah tinggi dia bagi kesan pada jantung. Itu yang jadi punca kematian. 

Allah tak buat dia sakit menderita lama. Jadi dia tak perlu susahkan sesiapa untuk jaga dia. Dan sebab takde siapa yang mampu menjaga dia sebaik jagaan Allah. 

Ada masa aku rindu. Ada masa aku terkilan. 12 tahun usia persahabatan, tak pernah sekali kami berjumpa. Sama sama tak pernah mengajak. Mungkin sebab sama sama selesa begini. Dan sudah tentulah kerana Allah tidak mengizinkan juga. Sebab Allah tau sememangnya inilah yang terbaik. Walaupun aku rasa ralat tak tanya khabar dia, tapi itulah takdir yang tertulis antara kami. Pasti ada kebaikannya. 

Salam perpisahan di alam dunia yang penuh ujian ini ya Fik. Terima kasih bersahabat dengan saya. Kita berpisah di sini tapi tidak terpisah nama Fik dalam doa saya. 

Al-Fatihah. 
Fekhry Nizam bin Adam Idrus
13 September 1984 - 05 Oktober 2022

Post yang buat aku senyum. Rupanya masa tu dia dah nak pergi. Ataupun dah pergi. 

Terima kasih cakap saya sweet. Tak ingat dah huhu. Dulu ada jugak sesekali datang sekolah dia tapi tak sekali pun berjumpa. Memang tak tertulis takdir bertemu kan?

Lepas ni aku tanak dah gaduh dengan sesiapa. Walaupun gaduh gaduh dengan dia tu masa awal awal kenal dulu je tapi aku menyesal tau dak 😭

Tiada ulasan: