Jumaat. 27.03.15
Akhirnya orang yang tiap kali aku on facebook akan terjah profile dia dulu sejak tahu dia kritikal di ICU, telah pergi menemui Ilahi. Sesak dada sebab tahu selepas 4 jam pemergiannya. Aku tangisi kematiannya.
Dia bukan siapa siapa dalam kehidupan aku. Sekadar friend on list di facebook yang tidak pernah berhubung melainkan sekadar ucapan selamat hari lahir. Ah hari lahirnya cuma sehari selepas aku. Mudah nak ingat. Cuma ya, aku silent reader status statusnya. Rupanya sudah lama. Dari zaman dia belajar sekitar 2009/2010 hingga waktu dia menghembuskan nafas terakhirnya. Dan aku perasan dia rupanya warded sejak bulan satu, tapi hakikatnya hujung tahun 2014 dia sudah bermastautin menjadi pesakit hospital. Sejak sejak itu aku lebih kerap memerhati statusnya, apa sakitnya, harapnya cepat sembuh. Sampai satu ketika melimpah wall postnya dengan pengkhabaran dia kritikal. Doa tidak putus putus dari keluarga dan sahabatnya. Sehinggakan aku rasa ramai silent readernya yang muncul juga memberi kata semangat.
Dan aku juga. Mengharap keajaiban untuk pejuang di ICU.
Bayangkan. Aku on facebook semata nak tahu khabar beritanya. Seminggu dia kritikal seminggu itu jugalah aku kerap menyelusuri facebooknya. Tak pernah aku gigih begitu inikan pula pada stranger. Sampailah pada jumaat (27.03.15) terdetik di hati aku, jika Tuhan ambil dia pergi bukankah ini pelajaran yang sangat besar? Aku sudah lama tidak menghadap kematian yang aku kenali, yang aku rasa sakit di dada menangisi. Aku tahu mati tak mengenal usia nyatalah Tuhan mengambilnya pergi ketika usianya cuma 27 tahun, yang sebelumnya dalam keadaan sihat lalu didiagnosis dijangkiti tibi abdomen.
Bagaimana kalau aku di tempat dia? Bagaimana kalau Tuhan kata hayat aku cuma tinggal beberapa ketika? Dia pergi pada genap dua bulan selepas ulang tahun kelahirannya. Melihatkan status statusnya beberapa minggu sebelum itu, siapa sangka bahawa ajalnya sudah begitu dekat?
Aku tangisi pemergian ini atas hilangnya seorang doktor yang menceriakan, tetapi aku lebih berduka melihat diri aku yang penuh dosa dan noda. Tuhan mengangkatnya menjadi mulia, moga Tuhan tidak menjadikan aku hina.
Allahu akbar. Kematian itu membangunkan.
Rehatlah Iskandar Dzulkarnain. Sekarang sudah sihat dari penyakitmu. Moga malam malammu di alam barzakh bertemankan taman taman syurga yang indah. Dan moga dalam sakitmu sebelum itu telah menghapus tiap dosamu.
Innalillahi wa inna ilaihi rojiunn
Tiada ulasan:
Catat Ulasan