“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia).”
Ali Imran, 3:8
Lama dah tak muhasabah diri. Astaghfirullah. Lama tak mengimbas kembali kekhilafan diri dan belajar untuk memperbaiki. Lama tak mengimbau kekuatan yang pernah ada dan berusaha untuk mengekalkan atau lebih memantapkan. Hakikatnya, diri dah lama hilang.
Kekuatan pertama yang dipupuk dengan gigih, tanpa mahu rasa mengalah adalah ketika mak mula tenat dan pergi buat selamanya. Hadirnya kekuatan itu bukan kerana cekalnya hati tetapi kerana eratnya hubungan dengan Ilahi. Surau adalah tempat yang paling damai, tazkirah adalah kata kata penyejuk jiwa, yasin menjadi sahabat dan Al-Quran adalah kata kata yang paling indah & terbaik untuk membentuk kehidupan yang berjaya di dunia & akhirat. Mana pergi semua ini?
Di alam universiti, abaikan perjalanan ketika belasan tahun menuntut ilmu diploma perakaunan. Namun syukur sebab di alam ijazah sarjana muda, perbankan Islam membentuk diri menjadi lebih baik. InsyaAllah. Pensyarah yang selalu berkongsi kata kata semangat yang membawa lebih rasa cinta kepada agama. Kawan kawan yang kebanyakkannya menghormati batas pergaulan. Punya sahabat sahabat yang saling ingat mengingati, nasihat menasihati walau pasang surutnya tak pernah berpenghujung. Hidup dirasakan sempurna dalam kesederhanaan.
Tapi kini terasa semakin jauh dari Ilahi. Sudah jarang jarang sekali mencari ilmu menambah pengetahuan agama. Sibuk dengan dunia. Sudah banyak lupa kata kata Ilahi, kata kata Nabi. Motivasi hanya ada di hati, bukan di minda untuk digerakkan. Mengapakah begini jadinya aku?
Sangat sangat sangat memerlukan selain dari usaha sendiri, adalah hadirnya sahabat sahabat yang sama sama berusaha untuk mencari nikmat cinta sebenar kepada Ilahi. Sahabat sahabat yang memberi peringatan kepada hidup di akhirat. Back to basic. Kembali pada Tuhan. Kembali mengingati dan menyedari bahawa kita adalah hamba. Hamba Allah. Khalifah di bumi. Oh Tuhan, beri aku kekuatan untuk memperoleh hidayahMu dan mengamalkannya dalam kehidupanku!
notakaki: terjumpa perbualan perbualan lama dengan seorang sahabat yang cukup baik akhlaknya dan kebiasaannya di setiap akhir bicara dia akan memesan, “jaga diri ya.” Ia satu pesanan yang punya maksud tersirat yang tepat ke jiwa. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan