بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Isnin, 2 Mac 2009

Budak Nakal Itu Dah Jadi Pendiam

Dua tahun yang lalu, ketika aku datang ke rumah makcik budak ini, dia seorang anak kecil yang nakal, aktif dan manja. Dia punyai sebuah senyuman yang sangat comel, yang aku percaya sesiapa yang lihat pun akan jatuh sayang pada budak ini. Ketika itu usianya baru 3 tahun.

Dia seorang anak kecil yang masih mentah dalam mengenal isi dunia. Dia hanya tahu yang dia punyai seorang ayah, seorang ibu, seorang kakak dan seorang abang. Itu sudah cukup untuk anak kecil ini terus ketawa dan gembira. Sudah cukup untuk menjadikan dia penyeri suasana dengan keletahnya yang nakal, suaranya yang manja dan senyumannya yang comel.

Namun, ayah yang tercinta telah ditinggalkan.

Baru baru ini, aku kembali bertemu dia dalam satu majlis. Budak nakal ini dah jadi pendiam. Hanya kaku menunggu arahan ayah yang baru. Bersama abangnya yang juga dah jadi pendiam, akur mengikut segala 'peraturan' si ayah. Ayah yang masih muda untuk 3 orang anak kecil. Ayah yang baru berusia 28 tahun.

Hampir di penghujung majlis, aku sempat duduk bersebelahan budak ini. Itu pun setelah dijauhkan dari si ayah. Dia agak malu malu dengan aku. Mungkin sebab dia tidak kenal. Aku cuba berbual dengan dia. Dan setiap kali dia mahu berbicara dengan aku, dia akan melihat dahulu ayahnya, mungkin takut jika dimarahi. Kemudian, seorang pakcik datang. Hulurkan segelas air untuk dia dan abangnya. Mereka saling memandang. Mungkin masih menunggu arahan sama ada boleh minum air atau tidak. Serentak, kami yang duduk semeja dengan anak anak kecil ini menyuruh mereka minum. Bahang matahari terlalu panas. Pasti mereka pun dahaga. Setelah pasti mereka tidak akan dikenakan apa apa 'tindakan' oleh si ayah, baru lah mereka minum.

Terdetik di dalam hati aku, apa agaknya yang mereka lalui setelah 2 tahun lelaki itu menjadi ayah mereka?

Keletah mereka yang nakal sudah jauh menghilang. Mereka dah jadi anak anak kecil yang berdiri kaku di bawah terik mentari, dengan tangan ditegakkan ke bawah, mulut terkunci, dan si abang yang setia memimpin tangan si adik. Walau apa saja yang mereka mahu lakukan, mereka terlebih dahulu akan meminta izin dari si ayah. Bukannya dengan suara, tapi dengan soroton mata yang penuh kasihan.

Kami beri mereka limau. Tapi si abang teragak agak mahu mengambil. Si abang melihat ayah. Lelaki itu mengangguk. Gembira wajah si abang memakannya. Kami berikan juga pada si nakal yang comel ini. Seperti abangnya, dia melihat dahulu ayahnya. Namun ketika itu si ayah tidak perasan. Langsung tidak memandang. Dan dia terus memandang meminta izin. Terus seorang pakcik ini memeluknya, cakap pada dia hari ini boleh makan apa sahaja. Tiada siapa nak marah. Kalau ayah nak marah kami semua ada. Nanti ayah kena balik kalau pukul adik. Kemudian, baru anak kecil ini kembali senyum. Makan dengan riang.

Tapi sekejap sahaja. Selesai, mereka kembali menurut perintah si ayah. Menjadi kaku semula. Mulut terkunci rapat dan saling memimpin tangan.

Kasihan. Apalah dosa anak kecil itu sampai diperlakukan demikian? Apakah salah budak budak lelaki yang berusia dalam lingkungan usia mereka menjadi nakal dan aktif? Mereka bukan pecahkan barang, bukan nya buat orang marah tapi hanya suka bermain. Salahkah? Perlukah mereka menjadi seperti anak bodoh yang hanya patuh dengan arahan? Mereka bukan begitu sebelum hadirnya ayah yang berusia 28 tahun itu.

Sedih aku melihat mereka.

Kalau tak bersedia menjadi seorang bapa, jangan lah kahwin dengan janda yang beranak pinak.

Tiada ulasan: